Tuesday, February 24, 2009

Tiada pasang-surut di persada dakwah - Ust.Mokhtar Ridhwan

Alhamdulilah pertemuan dengan Ustaz Mokhtar Ridhwan malam tadi dalam usrah gabungan ABIM-WADAH-SISMA amat memberi kesan mendalam. Beliau memulakan dengan rasa syukur dan penuh tawadhu merakamkan rasa senang bertemu dengan teman-teman di Sabah. Mantan Timbalan Presiden ABIM itu yang juga mantan TYDP ABIM Sabah memugarkan anak-anak muda generasi penerus tentang gerak kerja dakwah dan tarbiyah ini tidak ada pasang-surutnya, tiada sempadan masa, selagi roh dikandung badan selagi kudrat dan iradah Allah swt bersama kita ia perlu diteruskan. Kerana gerak kerja ini menjadi warisan dari para anbia, mursalin dan tabiin. Beliau turut melontarkan pandangan para ulama dan mujahid seperti Fathi Yakan, Hasan Al-Banna, Abd. Kadir Zaidan, Bapak Muhammad Natsir tentang peri pentingnya kebijaksanaan dalam memahami cabaran dan keperluan lingkungan. ABIM-WADAH-SISMA mendoakan agar Ustaz Mokhtar dan keluarga terus diberi taufiq dan hidayah serta lindungan rahmah dan magfirah dari Allah swt.

Monday, February 23, 2009

Hikmah

Letaknya antara ilmu pengetahuan dan ilmu pengenalan. Kemampuan membaca disebalik yang tersurat dan merungkai yang tersirat. memahami antara konsep dan realiti. Renungan mendalam dari pelbagai perspektif. Sedar mengimbang masa yang betul, waktu yang sesuai dan suasana yang tepat. bak "melerai benang yang bersimpul sehingga menemui dua hujung". Namun hikmah adalah tersimpan dalam perbendaharaan Allah swt. Insan hanya mampu memohon kurnia dari Nya melalui rasa tulus ikhlas dan penuh tadabur.

Wednesday, February 18, 2009

Faham Ilmu

Perbincangan malam tadi menjurus kepada faham ilmu dalam Islam berbanding dengan faham Ilmu Tamadun Barat. Faham Ilmu dalam Islam berkaitan dengan memahami ilmu pengenalan dan ilmu pengetahuan yang membawa diri-diri individu mengenal tuhan penciptanya (Al-Khaliq) dalam masa yang sama dapat meletakkan alam makhluk (benda-benda) pada tempatnya yang betul (adab). Akhirnya faham ilmu dalam Islam menzahirkan Insan yang adabi, baik dan bertaqwa, bertanggungjawab. Faham Ilmu tamadun barat adalah berasaskan pengalaman tragis untuk menolak agama yang akhirnya ilmu itu semata-mata ilmu (knowledge) yang berdiri sendiri, bebas nilai, menolak agama (mulhid), terawang-awang. Ilmu di Barat tidak memberi erti kepada diri-diri individu. Ilmu akan berkembang mengikut tujuan akhirnya.