Tuesday, May 12, 2009

Jatidiri Mukminin

Usrah malam tadi bermula dengan sama-sama membaca Ayat 203-206 surah Al-A'raf yang bermaksud:
(203)Dan apabila tidak engkau bawakan kepada mereka satu ayat mereka berkata mengapa tidak engkau pilihkan dia?" Katakanlah: Yang aku turuti hanyalah apa yang diwahyukan kepadaku dari tuhanku. Ini adalah beberapa pandangan dari Tuhan kamu, dan petunjuk dan rahmat untuk kaum yang beriman.(204) Dan apabila dibaca orang Al-Qur'an, maka dengarkanlah dia dan berdiam dirilah. Moga-moga kamu mendapat rahmat. (205) Dan Sebutlah Tuhan engkau di dalam hatimu dengan merendah diri dan takut dan tidak dengan kata-kata yang keras, pada pagi hari dan petang, dan janganlah engkau termasuk orang-orang yang lalai. (206) Sesungguhnya mereka yang di sisi Tuhan engkau, tidaklah mereka menyombong daripada ibadat kepadaNya dan merekapun mengucapkan puji-pujian atasNya dan kepadaNya mereka sujud.
Buya Hamka melalui Tafsirnya Al-Azhar (Juz-9) menjelaskan bahawa Al-Qur'an itu sarat dengan petunjuk (huda) dan rahmat (kasih sayang) bagi kaum Muslimin. Kegagalan kaum Muslimin mengambil manfaat ini menyebabkan mereka tertutup dari petunjuk dan kasih sayang Allah swt. Salah satu kaedah untuk menjelmakan petunjuk Al-Qur'an ini ialah melalui mendengar dan memahami dengan bersungguh-sungguh ayat yang dibacakan. Kaum Muslimin perlu menyediakan diri untuk mendengar dan memahami ayat-ayat tersebut. Ini salah satu kekuatan tradisi usrah ABIM, iaitu perbincangan ayat-ayat Allah swt ini sukatan wajib dalam tarbiyah mingguan. Satu lagi pengajaran penting dari ayat-ayat yang dibincangkan ialah kaum Muslimin perlu menyuburkan fikir & zikir tentang Allah dalam sanubari masing-masing. Kerana ini sajalah kaedah untuk mengekalkan "direct-contact" dengan Allah swt. Kegagalan menjaga "direct-contact" ini menjadikan "gangguan gelombang" dalam diri yang disebut sebagai kelompok Ghafilin (orang lalai).
Kupasan Kitab Prof.Dr.Syed Naquib Al-Attas- Risalah untuk Kaum Muslimin, diteruskan dengan membincang jurang Generasi (Generation gap) yang berlaku dalam Masyarakat Barat. Ia timbul kerana Faham pembangunan, perubahan dan kemajuan yang difahamkan oleh tradisi kebudayaan Barat ialah sesuatu yang "uncertainty" atau tiada kepastian, sentiasa berubah dan berasaskan gerak nafsu insani. Justeru itu golongan belia di Barat dilambangkan sebagai modal usia yang mampu melakukan segala-gala. buat apa saja, bebas nilai, berfikir dan mencuba. Tiada erti salah. Manakala golongan dewasa, adalah kelompok yang perlu mengumpul segala kekayaan, mengecapi segala kemewahan dan menguasai segala sumber. Golongan dewasa perlu merebut segala peluang serta mencipta segala peluang. Bottom-line mereka adalah kepuasaan duniawi semata. Mereka tidak mempunyai autoriti untuk memberi nasihat golongan muda remaja kerana faham perubahan dan kemajuan di Barat membatasinya. Golongan Tua pula adalah makhluk yang dilupakan, beban kepada masyarakat.
Berlainan dengan kaum Muslimin, golongan muda-belia, dewasa dan tua terjalin dalam keharmonian dan kesantunan. Faham pembangunan, kemajuan dan perubahan dalam ajaran Islam adalah jelas iaitu melahirkan Insan baik (Insan Kamil) yang mendekatkan diri kepada Allah swt melalui tahap kesadaran yang tinggi (taqwa). Tiada kecelaruan dari segi tujuan akhir kehidupan. Kaum Muslimin tahu asal mula kejadian dan jelas akhinya. Natijahnya Institusi keluarga dalam Islam akan utuh, adab terbina dalam masyarakat, dan matlamat bernegara yang kukuh.